Hubungan antara Islam dengan teknologi dan maklumat adalah
ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai peranan
dan sumbangan yang penting dalam membina tamadun manusia. Teknologi dan maklumat
membawa kemajuan, kemudahan dan keselesaan, manakala Islam pula memimpin
manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di
akhirat.
Sains wujud
daripada perasaan ingin tahu manusia terhadap alam sekelilingnya dan merupakan
salah satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk
meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam telah memberikan garis kasar terhadap-
kaedah dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun ianya masih memerlukan
pengkajian yang mendalam untuk membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah maka
Islam sangat menuntut umatnya mencari, mengembang dan menguasai ilmu
pengetahuan.
PENCAPAIAN DAN REALITI
Sejarah
telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu, umat Islam adalah umat yang sangat
dihormati kerana ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Nama-nama seperti Ibn
Sina, Ibn Rush, Al Khawarizmi, Al Biruni adalah di antara tokoh-tokoh yang
tidak asing lagi samada di dunia Timur ataupun Barat. Penghormatan yang
diterima ini adalah melalui pencapaian mereka di bidang sains dan teknologi
serta pegangan yang kukuh terhadap Al Quran dan Hadis.
Sungguhpun
umat Islam telah menunjukkan kehebatan yang tiada tandingnya pada masa lampau,
tetapi kini suasana yang wujud adalah jauh berbeza. Umat Islam sekarang tidak
lagi menguasai bidang sains dan teknologi, sebaliknya ilmu tersebut telah
berpindah dan dikuasai oleh masyarakat Barat dan Timur Jauh. Apa yang lebih
malang lagi ialah bilamana umat Islam itu sendiri sudah hilang identiti
Islamnya dan tidak lagi dihormati.
ANUGERAH AKAL
Islam yang
telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada baginda junjungan nabi Muhammad
s.a.w. adalah lengkap dan sempurna serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia.
Sementara kejadian manusia yang serba indah ini pula dihiasi dengan anugerah
akal oleh Allah kepada manusia untuk berfikir.
Oleh itu
peranan akal yang telah dianugerahkan ini sangatlah besar. Ianya bukan sahaja
dapat digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi juga untuk
"melihat" kebenaran. Dengan sebab itulah Islam sangat menggalakkan
umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. Di dalam Al Quran
banyak ayat-ayat yang diakhiri dengan Allah bertanya kepada manusia seperti,
"Tidakkah kamu menggunakan akal" dan "Tidakkah kamu
memikirkan".
TEKNOLOGI DAN MAKLUMAT
Islam
telah menetapkan bahawa setiap perkara itu adalah tertakluk kepada peraturan
yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Nabinya, dan tidak terkecuali
juga ilmu teknologi dan maklumat. Oleh itu ilmu teknologi dan maklumat yang diterima
oleh Islam adalah ilmu yang dipimpin dan disuluh oleh Nur Ilahi, kerana hanya
dengan itu ilmu tersebut tidak akan bersifat menindas dan menganiaya makhluk
lain.
Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri
sudah terkandung ilmu teknologi dan maklumat yang hanya menunggu untuk dikaji dan
dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang
terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu
digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan
yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan
menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.
Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat
Islam perlu mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang
dikurniakan oleh Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat empirikal dan
saintifik. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman
kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber
inspirasi kepada kemajuan tamadun dan kekuatan ummah.
KEPENTINGAN ISLAM
Ilmu teknologi
dan maklumat tanpa Islam adalah seperti sebilah pedang di tangan seorang yang
mabuk, atau cahaya api di tangan seorang pencuri yang memungkin dia mencuri
barang-barang yang terbaik. Atas sebab inilah pemisahan antara Islam dengan teknologi dan maklumat hanya akan membawa kepada kemusnahan kerana mereka yang
menguasai ilmu tanpa pimpinan agama akan dipimpin oleh nafsu haloba.
Oleh itu
peranan agama adalah sangat penting dalam memastikan segala ilmu termasuk teknologi
dan maklumat tidak disalahgunakan untuk kepentingan individu ataupun golongan
tertentu. Senario dunia masakini juga seolah-olah menuntut umat Islam untuk
kembali untuk menguasai ilmu teknologi dan maklumat sebagai saluran untuk mencapai
kemajuan dan pemodenan.
PERANAN UMAT
Sebagai
umat Islam yang bijak, agama itu tidak seharusnya dilihat hanya sebagai ibadat
ditikar sembahyang sahaja, tetapi ianya perlu dilihat dari perpektif yang lebih
luas dan menyeluruh. Hubungan manusia bukan hanya terhad dengan Allah sahaja
tetapi juga dengan manusia yang lain dan alam sekelilingnya.
Oleh itu,
tanggungjawab-tanggungjawab ini perlulah disempurnakan dengan sebaik-baiknya,
kerana Islam bukanlah hanya sekadar slogan untuk dilaungkan tetapi menuntut
supaya dilaksanakan. Agama tanpa sokongan teknologi dan maklumat akan mudah
pincang dan meletakkan umatnya dalam keadaan serba lemah dan kekurangan. Oleh
itu umat Islam perlulah menjadikan dirinya seorang Muslim yang berilmu dan
bertaqwa.
Gabungan ilmu, iman dan taqwa serta akhlak yang mulia
adalah faktor yang utama untuk memungkinkan Islam kembali diterima sebagai
agama yang universal dan progresif.
No comments:
Post a Comment